Pages

23.11.10

Lemahkah Kerajaan Kita? (2)

Kerajaan sewajarnya mempunyai kuasa untuk menentukan harga komiditi barang asas seperti gula, air, khidmat jalan raya seperti tol dan harga minyak.

Malangnya penswastaan telah menyebabkan harga-harga barangan ini dikawal oleh satu sistem yang hanya mementingkan keuntungan yang kebanyakkannya menyeksa rakyat bawahan.

Maka di sinilah salah satu punca kerajaan menjadi lemah. Apa guna kerajaan yang memimpin negara tetapi keputusan penyelarasan harga ditentukan oleh pihak kapitalis?

Percambahan ekonomi biasanya menjadi kayu ukur kepada sesuatu kerajaan itu untuk menunjukkan sesuatu negara itu stabil, maju dan berdaya saing. Kegagalan kerajaan mengawal ekonomi negara menunjukkan kerajaan itu lemah dan tidak efisyen dalam pelaksanaan dasar.

Jika difikirkan dari sudut pandangan yang berbeza, hal ini bukankah sepatutnya wajar menarik pelabur kerana kuasa pelaburan sudah tentu di tangan mereka - bukan di tangan kerajaan.

Sebenarnya ini yang berlaku. Pelabur yang memasuki negara kita memang memikirkan keuntungan semata-mata. Mereka tidak fikir tentang kepentingan rakyat di sini. Mereka masuk apabila melihat peluang dan keluar apabila peluang di sini sudah tidak menarik atau mendapat peluang pelaburan yang lebih menarik dari negara lain.

Justeru, apabila pelabur ini telah mengaut tahap keuntungan yang memberangsangkan, mereka boleh mengabaikan kerajaan yang melaksanakan dasar. Mereka akan keluar tanpa ehsan. Pada waktu ini, nilai pelaburan negara akan jatuh, rakyat kehilangan pekerjaan, kerajaan kehilangan dana dan rizab.

Sekali lagi kerajaan akan dilihat lemah, tidak punya kuasa dan akan terus dikritik pembangkang dan dirungut rakyat marhaen.

Bagi aku, apa yang mampu dilakukan kerajaan sekarang ialah memilik negarakan semula syarikat-syarikat yang melibatkan kepentingan dan keperluan rakyat secara langsung seperti air, elektrik dan tol supaya harga-harga keperluan ini dapat dikawal demi kepentingan rakyat dan negara.

Kerajaan juga wajar menubuhkan satu program atau skim untuk meneroka dan mempunyai ladang tebu sendiri seperti mana kerajaan telah berjaya mewujudkan pelbagai projek pertanian lain seperti Felda dan Felcra. Ini bagi mengekang monopoli harga gula oleh pihak kapitalis yang sudah sedia kaya menjerut rakyat bawahan.

Ekonomi, cerminan kepimpinan kerajaan.

22.11.10

Lemahkah Kerajaan Kita?

Semenjak kekalahan kerajaan Barisan Nasional pada Mac 2008, banyak isu-isu yang berjaya dimainkan oleh gabungan baru parti pembangkang - Pakatan Rakyat. Isu-isu ini tidak remeh dan tidak dipandang enteng oleh kerajaan persekutuan jika kamu menitip dengan teliti akhbar selama ini.

Misalnya isu kehilangan enjin jet yang menggoncang Datuk Zahid Hamidi di kementerian pertahanan, isu pembunuhan wanita Monggolia - Altantuya Sharibu yang berjaya menarik minat Datuk Seri Najib sehingga bersumpah di Guar Perahu.

Isu nasional lain yang turut dicanangkan ialah isu APCO dan hubungan Malaysia dengan sekutu Amerika - Israel.

Banyak lagi isu yang dilihat membuka mata kerajaan Barisan Nasional untuk mengambil langkah defensif dari terus dipukul Pakatan Rakyat.

Jika sebelum tsunami politik ini terjadi, kerajaan melihat gesaan dan provokasi pembangkang bagaikan kanak-kanak yang tidak berakal sekadar emosi di tepi kedai mainan. Kini semuanya berubah. Kerajaan terus bersungguh-sungguh mengambil inisiatif mematahkan cubaan parti-parti pembangkang ini.

Penyatupaduan ketiga-tiga parti pembangkang utama di Malaysia (PKR, PAS, DAP) berjaya merencatkan lagi usaha kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan pemimpin terdahulu.

Lemah sangatkah kerajaan sekarang?

Mulai perenggan ini, apabila aku bercakap mengenai kerajaan, aku merujuknya kepada kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Barisan Nasional.

Kesilapan terbesar kerajaan sekarang ialah tidak berjaya berkongsi hujah yang mapan dan rasional kepada rakyat. Komunikasi antara rakyat dan pihak kerajaan terhad kepada media-media elektronik dan cetak yang melata.

Dari segi perhubungan komunikasi dan penyampaian maklumat, aku katakan GAGAL.

Blog-blog dan media internet tidak digerakkan dengan efisyen. Berbalik kepada artikel aku yang sebelum ini jika kamu masih gagal memahami.

Penggunaan media internet penting kerana ianya daripada suara rakyat bawahan yang pemikiran mereka sama taraf dengan rakyat lain. Jadi logik akalnya lebih relevan untuk dikongsi berbanding dengan angka-angka billion yang memeningkan kepala rakyat bawahan padahal masih hidup di takuk lama.

Bukan aku nak cakap hidup sendiri tak bertambah baik ialah salah kerajaan. Memang baliknya kepada diri dan kesungguhan seseorang untuk berubah. Apa aku nak ceritakan dari segi kemudahan prasarana dan perkara yang diluar kawalan rakyat.

Contohnya, satu keluarga yang berisi rumah RM 2000. Menyara anak seramai dua orang. Bantuan bagaimana boleh disalurkan oleh kerajaan untuk orang macam ini?

Memang tak cukup untuk satu isi rumah berpendapatan RM 2000. Pembahagian utiliti, makanan, pengangkutan, duit poket dan lain-lain akan meruncingkan keadaan.

Maka melarat pula kepada isu sosial dan jenayah.

Bersambung...

19.11.10

Eksperimentasi Sistem

Kadang-kadang aku hairan tengok apa jadi kat negara aku ini. Isu politiknya satu hal, isu ekonominya pula dah tentu sama terkesan dengan politiknya.

Yang paling dukacita bila difikirkan tentang nasib anak-anak kecil, anak aku, dan anak-anak kamu.

Masa depan mereka kini diperkotak-katik dengan kerakusan orang-orang tidak bertanggungjawab yang diberikan kuasa.

Isu-isu remeh,diperbesarkan hingga memeningkan rakyat bawahan. Natijahnya, rakyat menjadi bahan ujian untuk eksperimentasi sistem mereka. Misalnya isu pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Kasihan mereka yang menjadi tikus makmal yang gagal.

Masyarakat kampung pula disuapkan dengan maklumat yang terhad. Pemikiran masih tidak mengenali apa yang berlaku di bumi sendiri. Ciri negara maju songsang jelas di rumah-rumah papan jauh dari kesibukan kota.

Kenapa negara maju songsang? Negara maju rakyatnya ramai jahil. Pelik? Mereka tidak terdedah dengan pengetahuan am. Tanyalah rakyat Amerika, tahukah mereka Malaysia punyai menara berkembar tertinggi di dunia? Tahukah kedudukan Malaysia di peta dunia? Kenalkah mereka dengan presiden mereka sendiri? Apa yang pemimpin negara mereka buat terhadap dunia Islam?

Mereka jahil. Tidak mengerti fakta-fakta ini. Mereka terlampau taksub dengan negara mereka. Ego dan mendabik dada.

Perkara sama juga berlaku di kawasan pinggiran ini. Atuk-atuk, nenek-nenek, kaum bumiputera Sabah dan Sarawak yang masih jauh dari celik teknologi maklumat mudah diperkotak-katikkan minda mereka.

Kenapa ini berlaku? Penyekatan maklumat ini ada kaitannya dengan kuasa. Kuasa dari bawah dan kuasa dari atas. Kuasa dari atas tidak akan sedar jika yang di bawah tidak memberi satu petunjuk.

Fitrahnya, yang di bawah selalu merungut, yang di atas akan berfoya-foya dengan kesenangan. Di sini, akurlah pada fitrah. Fitrah pada yang memang hak milik sendiri, dirungutkan tidak mengapa. Apa salahkah seorang Tok Batin menggunakan akses jalur lebar bagi mengetahui dasar-dasar kerajaan, bidasan pembangkang dan saranan badan bukan kerajaan (NGO)?

Adakah pihak yang berkuasa memberikan kemudahan ini risau masyarakat yg ketinggalan ini akan keliru dalam membuat keputusan memilih tampuk pemerintahan kelak?

Semuanya berbalik kepada sistem pendidikan. Pendidikan yang tidak jujur dan ikhlas, mengecutkan pemikiran anak kecil. Jangan dimarah dan fobia andai mereka hanya jadi pak turut bila membesar. Masa ini, jangan terkapai-kapai memanggil orang asing untuk memajukan negara ini.

Berikan maklumat dan pendidikan yang sempurna kepada mereka. Bila sampai masanya, biar mereka putuskan siapa yang layak untuk diberikan kuasa untuk mentadbir negara dan mendidik anak-anak mereka pula.

Cukuplah apa yang terjadi sekarang. Tidak cukupkah minda rakyat disekat dengan maklumat sampai sanggup menyesatkan minda mereka pula?

Apa kamu fikir tentang pandangan aku? Sekadar menjadi pak turut atau ada idea yang lebih bernas untuk mengkritik?

18.11.10

Kata Mula

Apa-apa yang relevan untuk aku bicarakan, akan aku sampaikan di sini. Mungkin banyak melibatkan huraian berjela atau sekadar bebelan, aku pun tak pasti.

Identiti dan konsep blog ini juga tidak lagi difikirkan. Cetusan minda / kontroversi / pandangan kritikal / cakap kosong, semuanya masih belum terfikir. Yang pasti, lain dari blog 'Projek Gagal.'

Kandungan blog ini juga dirancangkan sebagai menyuarakan pandangan yang jujur dari hati kudus aku.

Makin banyak la krisis identiti aku dan uruskan blog-blog ini.