Pages

19.11.10

Eksperimentasi Sistem

Kadang-kadang aku hairan tengok apa jadi kat negara aku ini. Isu politiknya satu hal, isu ekonominya pula dah tentu sama terkesan dengan politiknya.

Yang paling dukacita bila difikirkan tentang nasib anak-anak kecil, anak aku, dan anak-anak kamu.

Masa depan mereka kini diperkotak-katik dengan kerakusan orang-orang tidak bertanggungjawab yang diberikan kuasa.

Isu-isu remeh,diperbesarkan hingga memeningkan rakyat bawahan. Natijahnya, rakyat menjadi bahan ujian untuk eksperimentasi sistem mereka. Misalnya isu pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Kasihan mereka yang menjadi tikus makmal yang gagal.

Masyarakat kampung pula disuapkan dengan maklumat yang terhad. Pemikiran masih tidak mengenali apa yang berlaku di bumi sendiri. Ciri negara maju songsang jelas di rumah-rumah papan jauh dari kesibukan kota.

Kenapa negara maju songsang? Negara maju rakyatnya ramai jahil. Pelik? Mereka tidak terdedah dengan pengetahuan am. Tanyalah rakyat Amerika, tahukah mereka Malaysia punyai menara berkembar tertinggi di dunia? Tahukah kedudukan Malaysia di peta dunia? Kenalkah mereka dengan presiden mereka sendiri? Apa yang pemimpin negara mereka buat terhadap dunia Islam?

Mereka jahil. Tidak mengerti fakta-fakta ini. Mereka terlampau taksub dengan negara mereka. Ego dan mendabik dada.

Perkara sama juga berlaku di kawasan pinggiran ini. Atuk-atuk, nenek-nenek, kaum bumiputera Sabah dan Sarawak yang masih jauh dari celik teknologi maklumat mudah diperkotak-katikkan minda mereka.

Kenapa ini berlaku? Penyekatan maklumat ini ada kaitannya dengan kuasa. Kuasa dari bawah dan kuasa dari atas. Kuasa dari atas tidak akan sedar jika yang di bawah tidak memberi satu petunjuk.

Fitrahnya, yang di bawah selalu merungut, yang di atas akan berfoya-foya dengan kesenangan. Di sini, akurlah pada fitrah. Fitrah pada yang memang hak milik sendiri, dirungutkan tidak mengapa. Apa salahkah seorang Tok Batin menggunakan akses jalur lebar bagi mengetahui dasar-dasar kerajaan, bidasan pembangkang dan saranan badan bukan kerajaan (NGO)?

Adakah pihak yang berkuasa memberikan kemudahan ini risau masyarakat yg ketinggalan ini akan keliru dalam membuat keputusan memilih tampuk pemerintahan kelak?

Semuanya berbalik kepada sistem pendidikan. Pendidikan yang tidak jujur dan ikhlas, mengecutkan pemikiran anak kecil. Jangan dimarah dan fobia andai mereka hanya jadi pak turut bila membesar. Masa ini, jangan terkapai-kapai memanggil orang asing untuk memajukan negara ini.

Berikan maklumat dan pendidikan yang sempurna kepada mereka. Bila sampai masanya, biar mereka putuskan siapa yang layak untuk diberikan kuasa untuk mentadbir negara dan mendidik anak-anak mereka pula.

Cukuplah apa yang terjadi sekarang. Tidak cukupkah minda rakyat disekat dengan maklumat sampai sanggup menyesatkan minda mereka pula?

Apa kamu fikir tentang pandangan aku? Sekadar menjadi pak turut atau ada idea yang lebih bernas untuk mengkritik?

No comments: