Pages

23.11.10

Lemahkah Kerajaan Kita? (2)

Kerajaan sewajarnya mempunyai kuasa untuk menentukan harga komiditi barang asas seperti gula, air, khidmat jalan raya seperti tol dan harga minyak.

Malangnya penswastaan telah menyebabkan harga-harga barangan ini dikawal oleh satu sistem yang hanya mementingkan keuntungan yang kebanyakkannya menyeksa rakyat bawahan.

Maka di sinilah salah satu punca kerajaan menjadi lemah. Apa guna kerajaan yang memimpin negara tetapi keputusan penyelarasan harga ditentukan oleh pihak kapitalis?

Percambahan ekonomi biasanya menjadi kayu ukur kepada sesuatu kerajaan itu untuk menunjukkan sesuatu negara itu stabil, maju dan berdaya saing. Kegagalan kerajaan mengawal ekonomi negara menunjukkan kerajaan itu lemah dan tidak efisyen dalam pelaksanaan dasar.

Jika difikirkan dari sudut pandangan yang berbeza, hal ini bukankah sepatutnya wajar menarik pelabur kerana kuasa pelaburan sudah tentu di tangan mereka - bukan di tangan kerajaan.

Sebenarnya ini yang berlaku. Pelabur yang memasuki negara kita memang memikirkan keuntungan semata-mata. Mereka tidak fikir tentang kepentingan rakyat di sini. Mereka masuk apabila melihat peluang dan keluar apabila peluang di sini sudah tidak menarik atau mendapat peluang pelaburan yang lebih menarik dari negara lain.

Justeru, apabila pelabur ini telah mengaut tahap keuntungan yang memberangsangkan, mereka boleh mengabaikan kerajaan yang melaksanakan dasar. Mereka akan keluar tanpa ehsan. Pada waktu ini, nilai pelaburan negara akan jatuh, rakyat kehilangan pekerjaan, kerajaan kehilangan dana dan rizab.

Sekali lagi kerajaan akan dilihat lemah, tidak punya kuasa dan akan terus dikritik pembangkang dan dirungut rakyat marhaen.

Bagi aku, apa yang mampu dilakukan kerajaan sekarang ialah memilik negarakan semula syarikat-syarikat yang melibatkan kepentingan dan keperluan rakyat secara langsung seperti air, elektrik dan tol supaya harga-harga keperluan ini dapat dikawal demi kepentingan rakyat dan negara.

Kerajaan juga wajar menubuhkan satu program atau skim untuk meneroka dan mempunyai ladang tebu sendiri seperti mana kerajaan telah berjaya mewujudkan pelbagai projek pertanian lain seperti Felda dan Felcra. Ini bagi mengekang monopoli harga gula oleh pihak kapitalis yang sudah sedia kaya menjerut rakyat bawahan.

Ekonomi, cerminan kepimpinan kerajaan.

No comments: