Pages

8.12.10

Timbalan Perdana Menteri (2)

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataannya ada menyatakan andai Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia, tidak mustahil baginya selaku Perdana Menteri untuk melantik Lim Kit Siang daripada DAP sebagai timbalannya.

Ada pelbagai pilihan boleh berlaku di sini. Andainya tradisi jawatan timbalan perdana menteri diteruskan, timbalan perdana menteri sudah pasti timbalan presiden parti terbesar ketika itu (mungkin PKR).

Namun tradisi ini cuba dipecah oleh Pakatan Rakyat dalam penentuan timbalan perdana menteri.

Ianya sekali lagi hak mutlak Perdana Menteri ketika itu kepada siapa beliau mahu melantik timbalan beliau.

Jika ada yang paranoid dengan status timbalan perdana menteri yang bukan Melayu, andai PR mampu melawan tradisi perlantikan timbalan perdana menteri daripada parti yang tidak dominan, maka tak mustahil bagi PR bahawa timbalan perdana menteri tidak semestinya bakal menjadi Perdana Menteri.

Sekali lagi, ianya adalah kuasa mutlak Perdana Menteri untuk melantik sesiapa sahaja yang beliau mahu untuk menggantikan beliau. Tidak ada dalam perlembagaan timbalan perdana menteri akan mengambil alih secara automatik jawatan perdana menteri jika perdana menteri itu meletak jawatan. Bahkan mahu tidak mahu, Yang Dipertuan Agong terpaksa juga bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri hasil pengubalan perlembagaan yang telah dilakukan dalam mengurangkan kuasa raja-raja Melayu.

Bagi konsep kerajaan masakini, jika perdana menteri mempunyai hal peribadi atau urusan di luar negara yang kritikal, timbalan perdana menteri hanya akan menjadi pemangku perdana menteri bagi mengambil alih tugas-tugas perdana menteri agar pentadbiran dalam negara berjalan lancar. Walaupun memangku jawatan perdana menteri, pemangku bukanlah perdana menteri.

Jawatan timbalan perdana menteri juga boleh diwujudkan sebanyak dua jawatan jika diperlukan. Namun kerajaan yang bijak pasti dapat menilai apa yang lebih penting - menjaga hati ahli-ahli parti atau menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam membayar gaji dua orang timbalan perdana menteri. Kerajaan perlu mengelakkan dilema ini dari menghantui pentadbiran mereka.

Isu perlantikan jawatan timbalan perdana menteri masih menjadi stigma ketakutan bagi mereka yang takut dengan pengambilan pemerintahan negara dari orang Melayu. Bukan aku nak cakap nanti dah terjadi sudah terlambat menyesal, tapi masih tidak ada lagi sebab-sebab kukuh untuk takut kepada sesuatu yang belum terang hujung pangkalnya.

Idea Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik timbalan perdana menteri daripada bukan Melayu juga tidak kurang satu dari satu kenyataan meraih undi dari kaum-kaum bukan Melayu kerana Melayu itu kuatnya dengan UMNO memang sukar untuk dipisahkan terutamanya yang sudah ganyut usia.

Ada juga yang berpendapat seperti Prof Abd Aziz Bari yang mengatakan kaum minoriti yang menjadi pemimpin akan lebih beretika dan profesional kerana rakyat majoriti di bawah sangat meneliti apa yang berlaku. Kaum minoriti yang menjadi pemimpin akan menjadi pemimpin berdasarkan buku iaitu mengikut segala perundangan dan perlembagaan negara dalam pentadbirannya nanti.

Kamu ada hujah menyokong mana-mana pihak, kongsikan di sini. Kita akan sama-sama periksa dan pertimbangkan setiap pandangan kamu.

No comments: