Pages

7.12.10

Timbalan Perdana Menteri

Jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah yang kedua tertinggi dalam pentadbiran eksekutif kerajaan. Sejarah perlantikannya bermula sewaktu Tunku Abdul Rahman selaku perdana menteri telah melantik Tun Abdul Razak bagi memudahkan kerja dan bebanan yang dipikul oleh beliau.

Saat Tanah Melayu mengecapi kemerdekaan, negara masih tidak sempurna dalam susur galur penyusunan politiknya. Demi menunjukkan kesungguhan bahawa anak bangsa mampu mentadbir negara dengan terurus dan bagi memperolehi kepercayaan daripada British, maka jentera kerajaan dipersiagakan.

Tunku seorang tidak dapat memikul beban yang amat berat ini bagi menerajui sebuah negara yang kaya hasilnya dan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Tunku perlukan seseorang yang dapat membantu beliau dan pada masa yang sama dapat membuktikan keupayaan pentadbiran beliau ekoran kebangkitan semangat nasionalisme parti berhaluan kiri dalam menghalau penjajah keluar dari Tanah Melayu.

Oleh itu, Tunku telah mewujudkan satu jawatan khas atas pertimbangan beliau bagi menjaga dan memantau pentadbiran negara terutama dari aspek politik dan sosio-ekonomi.

Berdasarkan inisiatif ini dan beberapa kes mahkamah yang berlaku di Malaysia, jelas bahawa kuasa melantik Timbalan Perdana Menteri adalah satu kuasa yang dipegang penuh oleh ketua kerajaan - Perdana Menteri. Beliau berhak untuk melantik pembantunya mengikut percaturan beliau sebagaimana beliau berhak untuk merombak kementerian dalam kerajaan pimpinannya.

Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim melawan Tun Dr Mahathir Mohamad di mahkamah mengenai status pemecatannya dari kabinet selaku Timbalan Perdana Menteri, mahkamah juga telah memutuskan bahawa pemecatan yang berlaku adalah sah walau tidak dipersembahkan terlebih dahulu kepada Yang Dipertuan Agong bagi mendapat perkenan.

Jelas bahawa kuasa melantik, menggugurkan dan menukar apa-apa struktur kementerian dan jawatan dalam kerajaan adalah milik mutlak ketua kerajaan.

Secara tradisi, jawatan timbalan perdana menteri disandang oleh timbalan presiden parti yang terbesar menerajui Malaysia. Ianya juga adalah sebagai strategi persediaan untuk melahirkan seorang pengganti Perdana Menteri di masa hadapan.

Namun ini semua hanyalah secara tradisi. Tidak terdapat dalam perlembagaan negara penyusunan hierarki politik mestilah disusun seperti yang telah berlaku selama lebih 50 tahun ini.

Bersambung...

No comments: